Friday, December 28, 2018

PENDAKIAN KE GUNUNG PULAI BALING KEDAH

Assalamualaikum dan salam sejahtera .. kali ini saya ingin berkongsi pengalaman mendaki gunung Pulai di Baling Kedah.

Seperti biasa saya juga akan berkongsi beberapa tips utk  memudahkan rakan-rakan pendaki.

Saya dan 2 orang sahabat bertolak dari Jitra jam 10 malam pada 27.12 2018 menuju ke pekan Kupang Baling. Sampai lebih-kurang 12.00 malam dan menumpang tidur di rumah keluarga salah seorang sahabat saya itu.

Tepat jam 5 pagi kami bangun pagi dan mandi di kolah (nak bagitau lama dah tak mandi kolah) terus ke masjid berdekatan utk solat subuh. Selepas solat kami bertolak ke sebuah kedai mamak di batu 42 untuk bersarapan . Sambil menantikan seorang rakan kami yg juga bertindak sebagai guide bernama ustaz hafizan . Seorang yang berpengalaman luas dan gemar dalam aktiviti hiking dan traveling. (Tq bro, bantuan yg diberikan amat bermakna termasuk sebelum, semasa dan selepas mendaki).



Selepas bersarapan (org kedah kata menyorok) kami bergerak ke kaki gunung pulai. Sememangnya tempat permulaan pendakian agak sukar utk dikenalpasti bagi orang luar. Tiada signboard utk menunjukkan arah. Dari simpang jalan besar pulai ke baling, perlu memasuki kampung melalui jalan sempit lebih-kurang 500 meter. Yang terbaik ialah tanya orang kampung di situ supaya tidak tersasar.


Alhamdulillah kami sampai di kaki gunung pulai tepat jam 7.30 pagi. Setelah mendapat briefing dari ustaz hafizah kami memulakan pendakian tepat jam 7.45 pagi. Pendakian bermula dengan melalui jambatan gantung . Seterusnya melalui pagar buluh utk memasuki kebun yang di dalamnya ada kubur lama. Agak scary kan.








 * tips: pastikan anda melalui pagar buluh ini, jika tidak pasti tersasar.

Laluan pendakian amat mencabar. Bermula dari bawah sampai ke atas laluan pendakian hampir 100 peratus berbatu-batu . Pandangan sy gunung pulai lebih mencabar dari gunung baling yang berdekatan . So not adviceable to beginner. Namun laluan agak clear dan bertanda tidak perlu risau. Cuma masih perlu berhati-hati dan sentiasa melihat tanda-tanda yang ditinggalkan oleh pendaki terdahulu.





Sepanjang perjalanan kami dihidangkan dengan pemandangan yang indah. kami tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar kenangan. Terasa hilang letih melihat keindahan ciptaan Allah .









*Tips: memandangkan gunung ini tidak se popular gunung baling dan tidak di komersial lagi pada masa ni so saya sarankan bawa petunjuk arah dan ikat pada laluan bagi kemudahan pendaki seterusnya. Ini boleh dianggap community service. In shaa Allah diberikan ganjaran pahala.

* Tips: pastikan memakai pakaian yang sesuai khasnya kasut . Glove atau sarung tangan juga sangat berguna . Kecederaan  boleh berlaku jika tidak mengambil berat perkara ini.

* Tips: bawa air yang mencukupi . Sy bawa 2 liter pun tak cukup. Bagi yang bawa botol air dan pembungkus makanan pastikan jangan buang merata . Bungkus dan bawa balik. Jagalah Kebersihan dan keindahan alam kita .

Alhamdulillah kami sampai di puncak gunung pulai tepat jam 10 pagi. Lebih-kurang 2 jam perjalanan. Kegembiraan dan kepuasan terpancar di muka kami semua .  Pemandangan subahannallah indah . Tapi dah agak panas . Mungkin lebih indah jika awal pagi.  Setelah puas menikmati keindahan alam ciptaan Allah, bergambar dan berehat secukupnya kami memutuskan memulakan perjalanan turun.













Setelah lebih 30 minit berehat kami memulakan perjalanan turun . Seperti biasa perjalanan ini yang saya tidak sukai dan mengambil masa hampir sejam setengah.

*Tips: Perjalanan turun adalah lebih mencabar. Perlu lebih berhati-hati. Tidak perlu terburu-buru. Keletihan kaki sememangnya cabaran utama. Teruskan perlahan-lahan dan nikmati perjalanan . Biasa pada masa ini sudah tak bernafsu utk bergambar. ..hehe

Kami tiba di kaki gunung lebih kurang jam 12.30. Seterusnya kami mengambil peluang utk berhenti mandi sungai. Mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak ... airnya sejuk menyegarkan kembali badan yang letih utk seketika.



Kenangan dan pengalaman ini akan sentiasa menjadi memori yang diingati selamanya.

Sekian perkongsian.

Iskandar Jassa
28.12.2018




Monday, November 5, 2018

MENDAKI GUNUNG KERIANG



Assalam dan selamat sejahtera..

Pada kali ini saya ingin berkongsi pengalaman mendaki Gunung Keriang. Gunung setinggi 217 meter ini adalah merupakan batu kapur dan terletak di Alor Setar. Bagi yang baru pertama kali sampai ke Alor Setar ianya berhampiran dengan Muzium Padi, Pusat Sains Negera dan yang terkini Kriang Hill Resort.


Pendakian agak mencabar dan bahaya dengan hampir 95% adalah merupakan batu dan curam. So.. pendaki adalah perlu untuk memastikan aspek keselamatan dititikberatkan sepanjang pendakian. Pendakian boleh mengambil masa diantara 20 minit hingga sejam mengikut stamina dan keupayaan masing-masing.

Di kaki gunung adalah kawasan perkampungan. Pendaki boleh meletakkan kenderaan di kawasan yang disediakan dengan percuma. Terdapat beberapa gerai makan di kaki gunung untuk membolehkan pendaki mengisi perut sama ada sebelum naik atau selepas turun. Selain itu terdapat juga beberapa gerai menjual batu kristal. 










Pendaki boleh melihat pondok di puncak Gunung Keriang dari kawasan tempat letak kenderaan berhadapan kedai makan. 




Seterusnya pendaki perlu melalui laluan berpagar di belakang kedai dan akan melalui kawasan tanah perkuburan dan tokong cina. 
Pendaki akan memulakan pendakian satu pintu gerbang bertulis 'laluan ke puncak'. Seperti biasa terdapat amaran untuk tidak meninggalkan sabarang sampah di atas gunung. Tapi pemerhatian saya masih terdapat sebilangan pendaki yang tidak perihatin terhadap perkara ini..





Perjalanan ke puncak sememangnya agak mencabar. Laluan yang curam dan batu-batu yang tajam semakin menyukarkan perjalanan. Pendaki juga akan melalui beberapa gua batu kapur yang mungkin mempunyai sejarah penempatan masyarakat pada zaman dahulu. Bau tahi kelawar di kawasan gua ini jelas menunjukkan bahawa merekalah penghuni gua pada masa dulu kini dan selamanya.








Pada ketinggian 128 meter dari aras laut terdapat penunjuk arah ke gua.. Insya Allah pada kesempatan lain akan menjenguk ke sana. Kali ini saya dan  famili akan habiskan perjalanan naik ke puncak dulu... Tapi pendakian ini sememangnya agak mencabar kepada dua orang anak saya iaitu Nurisha dan Irwan Shah. Irwan yang alergik kepada bau tahi kelawar sempat muntah beberapa kali.. manakala Nurisha dah rasa nak pitam... so bagi mengelakkan masalah yang tidak dingini isteri saya mengambil keputusan untuk turun semula bersama dua orang anak... manakala saya akan meneruskan pendakian kerana anak sulung saya Hafiz telah naik ke atas lebih dahulu.









Akhirnya pada jam 9.50 saya sampai di puncak Gunung Keriang yang setinggi 217 meter dari aras laut. Sudah tentu pendakian yang memenatkan akan terubat dengan pemandangan cantik dari atas puncak gunung. Kelihatan bendang yang luas. Mungkin lebih cantik jika mendaki semasa musim padi mengguning. So sure akan repeat selepas ini...










Memandangkan hari ini adalah merupakan cuti kelepasan am (deepavali) maka ramai pengunjung berada di puncak untuk berehat menghilangkan keletihan. Saya dan Hafiz yang telah terlebih dahulu sampai beberapa minit yang lalu mengambil peluang berehat seketika serta merakamkan beberapa keping gambar kenangan sebelum memulakan perjalanan turun. 








Walaupun Gunung Keriang tidak terlalu tinggi tetapi masih tetap  mencabar diri. Ianya juga merupakan tempat yang sesuai untuk menghabiskan masa bersama keluarga. 

Beberapa tips pendakian 

i.   Guna kasut yang bersesuaian
ii.  Sarung tangan untuk mengelakkan kecederaan tangan
iii. Air minum yang mencukupi


6.11.2018 (Selasa)









Monday, October 15, 2018

MENDAKI GUNUNG JERAI

Assalamuaikum dan Salam Sejahtera,

Agak lama saya tidak mengemaskini blog ini. Kali ini saya ingin mencatatkan pengalaman mendaki Gunung Jerai. Mengapa saya berminat untuk membuat coretkan kenangan ini kerana saya rasa pengalaman ini amat bermakna sekali kepada saya dan rakan-rakan.. Melalui catatan perjalanan ini saya juga akan sertakan tip-tip yang mungkin berguna untuk membantu rakan-rakan yang ingin mendaki Gunung Jerai selepas ini.

Sebenarnya perjalanan ini juga banyak dibantu oleh maklumat yang diberikan oleh Isteri saya sendiri kerana beliau telah berjaya mendaki gunung jerai semasa pergi bersama rombongan pelajarnya sekolahnya beberapa bulan yang lalu. Ini menyebabkan saya lebih teruja untuk menawan Gunung Jerai...


7.30 pagi - Sampai di Pekan Yan. Singgah di sebuah kedai makan untuk sarapan pagi. Kedai berhampiran dengan sebuah masjid. Pemerhatian saya tidak banyak kedai makan yang dibuka seawal pagi di Pekan Yan. Oleh itu saya cadangkan boleh sarapan di Pekan Guar Chempedak atau bawa sendiri makanan dari rumah.


7.50 pagi - Berkumpul di lokasi permulaan iaitu di Pusat Peranginan Titi Hayun.



8.00 pagi - Selepas membaca doa ringkas kumpulan saya seramai 7 orang pun memulakan langkah untuk menawan Gunung Jerai. 



Disinilah kisah bermula. Perancangan untuk mendaki ini sebenarnya sudah hampir 2 bulan dirancang. Saya pun mewujudkan kumpulan whatsapp untuk mempromosikan program ini. Pada mulanya hampir 20 orang yang menunjukkan minat tetapi akhirnya yang turn up hanya 7 orang. Apa pun alhamdulillah program ini masih dapat dijalankan. 

Dijadikan cerita semua ahli kumpulan yang 7 orang ini tidak mempunyai pengalaman mendaki Gunung Jerai sebelum ini. Secara peribadi mendapatkan pengetahuan pendakian ini hanya berdasarkan pembacaan dalam blog catatan pengalaman pendaki sebelum ini. Oleh itu satu kesilapan besar telah berlaku....... (menyesal tidak dengar betul2 pesanan isteri saya..).. Kumpulan saya telah mengambil jalan pendakian ke Air Terjun Puteri Mandi dan bukannya pendakian ke Gunung Jerai. Terlebih Confident dan excited.. .



Kumpulan saya telah mengambil jalan yang salah sejak permulaan pendakian.  So moralnya disini ialah jangan malu bertanya kerana 'orang yang malu bertanya akan sesat jalan'. Kesilapan ini hanya disedari setelah selamat sampai di Air Terjun Puteri Mandi. 

Perjalanan ke Air Terjun Puteri Mandi dengan jarak dianggarkan sejauh 3.1 km sememangnya mencabar. Kami melalui laluan yang pelbagai termasuk mendaki bukit menggunakan tali, menuruni bukit yang licin, melalui jeram / sungai yang berbatu dan yang paling mencabar bagi saya ialah perlu mengharungi ciuman sang pacat. Apatah lagi perjalanan ini dijalankan semasa musim hujan. 

Sepanjang perjalanan pendaki akan disajikan dengan keindahan alam sekitar. Indah sungguh ciptaan tuhan.. yang masih tidak terusik. Kita semua bertanggungjawab untuk mempertahankan keindahan flora dan fauna ini. Namun ada juga kesan-kesan tinggalan botol minuman dan plastik bungkusan makanan yang ditinggalkan.. 


Madu Lebah  Pokok Tualang 


Bagi hikers yang tidak mempunyai pengalaman mendaki atau explore kawasan hutan dan bukit sekiranya ingin pergi ke Air Terjun Puteri Mandi saya sarankan pergi secara berkumpulan atau mengambil perkhidmatan malim gunung. Ini kerana laluan ke sana agak sukar dan kadang-kadang mengelirukan. Bagaimanapun jangan risau untuk sesat kerana laluan-laluan ditandakan dengan plastik merah putih 'do not crossing' (tahu kan maksud saya) yang diikat pada pokok-pokok disepanjang laluan oleh pendaki-pendaki sebelum ini atau malim gunung. Tips nya ialah pastikan tanda-tanda ini jelas sebelum memilih meneruskan ke laluan yang betul.  









10.30 pagi - Kumpulan saya telah sampai ke destinasi iaitu Air Terjun Puteri Mandi. Air terjun ini agak tinggi. Saya anggarkan hampir 100 meter. Pemandangan yang sungguh indah. Bagaimanapun agak berbahaya dan licin. Walaupun air terjun ini mempunyai kolam yang cantik untuk mandi manda tetapi kami tidak berminat untuk mandi kerana takut serangan Puteri Pacat yang banyak di kawasan itu. Di sinilah jugalah baru kami sedari yang kami telah tersalah laluan. Memandangkan tanda-tanda laluan berakhir di sini. Selepas berehat lebih kurang 20 minit sambil mengambil gambar kenangan kami pun mengambil keputusan untuk bertolak balik ke peranginan Titi Hayun. 




Dalam perjalanan masing-masing mengeluh kerana tidak dapat mencapai apa yang dihajati dan beberapa kali berhenti untuk menguruskan Puteri Penghisap darah yang bermaharaja lela. Memang dahsyat sengatannya. Saya sendiri menerima hampir 30 sengatan. Semasa menulis ini masih terasa kegatalannya. So Tip seterusnya pastikan persiapan yang sewajarnya untuk menguruskan masalah pacat ni. Saya tidak pasti apa ubat yang sesuai tetapi saya menggunakan yoko-yoko untuk menghalau pacat.. agak berkesan tetapi tidak mampu nak lomor kan ke seluruh badan. Pacat ini pun bijak dan bukan masuk dari bahagian bawah badan sahaja tetapi juga dari atas. 



11.50 pagi - sampai semula di Titi Hayun. Rasa terkilan terus membuku dalam sanubari saya kerana tidak dapat menyempurnakan hasrat pada kali ini. Teringin juga untuk meneruskan cabaran pendakian tetapi apakan daya ahli kumpulan lain rasanya dah terlalu keletihan. Namun hasrat saya disambut oleh dua orang lagi sahabat.. pengalaman mendaki bersama sebelum ini menyebabkan rasa ralat it kami kongsi bersama. Oleh itu setelah membuat perbincangan lanjut dan menilai keupayaan masing-masing, kami pun membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan untuk menawan Gunung Jerai sesuai dengan matlamat asal kumpulan kami. Oleh itu kami mengambil masa lebih kurang 15 mini untuk berehat dan makan.


Tangga Kenari iaitu laluan sebenar pendakian ke puncak gunung jerai


Kononnya buat gambar kenangan.. tapi 

12.15 tengahari - Kami ( Saya, Amran dan Yusuf) memulakan perjalanan pendakian Gunung Jerai melalui Tangga Kenari (Tangga Kenangan Seribu Tahun). Manakala 4 orang lagi rakan lain mengambil keputusan untuk terus berehat di Pusat Peranginan Titi Hayun sebelum balik ke rumah masing-masing. Cabaran pertama yang perlu ditempuh ialah Tangga Kenari. Saya tidak pasti jumlah sebenar tetapi setiap 200 anak tangga ada disediakan tanda. Tangga ini melebihi 1000 anak tangga.. (tapi rasanya macam tak sebanyak itu). Bayangkan setelah mengharungi hampir 6 km perjalanan ke Air Terjun Puteri Mandi, rasanya hampir tak larat untuk mendaki lagi. Namun kami semua gagahi dan akhirnya berjaya sampai ke check point ke 15 ( terdapat sebuah pondok). Kami berehat hampir 10 minit di pondok itu kerana terlalu penat. Kenapa Check Point 15, saya pun tak tahu tetapi yang pasti untuk sampai ke Regency hotel di Puncak Jerai (bukan Puncak Sebenar) perlu melalui 8 Checkpoint (checkpoint ke 8 la...). Pada tanda checkpoint juga disertakan nombor telefon bomba dan pasukan penyelamat sekiranya terdapat kecemasan.



Seperti yang saya katakan sebelum ini pendakian ke Gunung Jerai pada saya tidak lah terlalu mencabar. Laluannya amat mudah untuk dilalui dan pada saya sukar untuk pendaki akan sesat sekiranya mematuhi tanda-tanda yang telah disediakan. Apa yang diperlukan hanyalah semangat dan stamina yang tinggi. Tip kepada pendaki untuk mengetahui jarak masih jauh atau tidak berpandukan kepada tanda checkpoint. Checkpoint yang terakhir sebelum sampai di Regency Hotel ialah Checkpoint 8. Maaf saya tidak pasti Jarak di antara setiap checkpoint. Mungkin satu kilo meter.. mungkin saja... 





Untuk rekod terdapat beberapa pilihan laluan untuk mendaki Gunung Jerai. iaitu melalui tangga kenari (laluan yang kami lalui), laluan jalan raya dari guar chempedak ( lebihkurang 12 km) dan satu lagi melalui laluan hutan dari Merbok.. (katanya lebih mencabar)   

3.15 petang - Akhirnya setelah mengharungi perjalanan selama tiga jam, kami pun sampai di Regency Hotel Gunung Jerai. Ketinggian dari paras laut ialah 986 meter. Kami menggambil peluang untuk berehat sekejab dan mengambil gambar kenangan sebelum meneruskan perjalanan menggunakan kenderaan yang disewa turun ke guar chempedak. Pemandu itu mengambil tambang sebanyak RM 30 atau RM 10 seorang. Rasanya ok kot. Ada juga Van yang naik ke regency hotel untku mengambil penumpang secara berkala. Satu lagi tip yang terakhir.. bagi memudahkan perjalanan memandangkan kami datang dengan dua buah kenderaan, maka sebuah kenderaan telah kami tinggalkan di guar cempedak. Sebelum kami bertolak semula ke Titi Hayun untuk mengambil kereta rakan yang lain.


tiga budak nekad 



Alhamdullilah dengan keizinan Allah swt maka akhirnya matlamat untuk mendaki Gunung Jerai tercapai juga. Lebih mencabar kami perlu melalui perjalanan lebih 10 km sehari dan pergi ke dua destinasi dalam satu hari iaitu Air Terjun Puteri Mandi dan Gunung Jerai.. rasanya macam orang gila kot.. tapi berkat semangat dan doa keluarga serta rakan-rakan akhirnya  semua cabaran dapat di atasi. Alhamdullilah kerana program ini mendapat keberkatan dan keizinan Allah swt. 

Tidak lupa terima kasih kepada isteri tersayang yang menyokong dan memberikan maklumat berguna untuk pendakian ini.


Semoga perkongsian ini ada manfaatnya.


Iskandar Bin Jassa
13 Oktober 2018









Trip ke Kluang Johor dan pendakian gunung lambak

Assalam . Saya berpeluang untuk menghadiri program retreat anjuran jabatan saya baru2 ini di Kluang Johor pada    16-19 November 2019  . I...